Di Manakah Kita Meletakkan Bahasa Melayu Milik Kita?

 

(Amaran: Ini merupakan pos panjang dan sedikit berat. Jangan baca kalau tidak sayangkan bahasa Melayu! Terima kasih)

Bahasa Melayu, Lingua Franca Ulung

Sebut saja lingua franca perkara yang terlintas dalam fikiran kita adalah ia merupakan satu perihal bahasa dan komunikasi. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, lingua franca membawa erti bahasa perantaraan atau bahasa perhubungan antara masyarakat atau orang-orang yang berlainan bahasa.

Berdasarkan pengertian ini, mudah katanya lingua franca ini bermaksud seseorang itu menggunakan bahasa asing yang bukan merupakan bahasa asalnya sebagai bahasa pengantar.

Contohnya, Kenji Shinoda adalah seorang yang berasal dari Jepun tetapi dia juga seorang yang mahir berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu meskipun asalnya dia adalah rakyat Jepun. Jadi, nampak tak maksud lingua franca itu secara literalnya?

Kenji Shinoda (rakyat Jepun) + Bahasa Melayu (bahasa komunikasi) = Lingua Franca

Dalam lipatan sejarah, terdapat rekod sekitar abad ke-14 seketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu ini berada pada tahap kegemilangannya kerana diangkat menjadi lingua franca  di Gugusan Kepulauan Melayu.

Sama ada dituturkan oleh penduduk tempatan atau para saudagar yang datang dari Timur dan Barat yang mengunjungi Melaka melalui laluan perdagangan, Selat Melaka ketika itu.

Menurut sarjana Belanda, Francois Valentjin menyifatkan penggunaan bahasa Melayu di rantau ini sebagai bahasa yang bersamaan dengan penggunaan kontemporari Latin dan Perancis di Eropah.

Surat Sultan Abdul Jalil Riayat Syah dari Johor & Pahang kepada Raja Perancis Louis XV pada tahun 1719.
Surat Sultan Abdul Jalil Riayat Syah dari Johor & Pahang kepada Raja Perancis Louis XV pada tahun 1719.

Gambar di atas menunjukkan sepucuk surat Sultan Abdul Jalil Riayat Syah dari Johor dan Pahang kepada Raja Perancis Louis XV pada tahun 1719. Dalam surat ini, Sultan Abdul Jalil Riayat zill Allah fi al-alam memaklumkan kepada Raja Louis XV tentang kedatangan Kapitan Villaumont Gardin ke Terengganu kerana ingin mengadakan persahabatan dan hendak berniaga di Terengganu.

Baginda telah menggunakan peluang ini dengan menghantar surat kepada raja Perancis yang bernama Louis Quinze Roi de France et de Navarre. Bagindan juga memohon bedil dan ubat bedil daripada raja Perancis. Sebagai balasannya, baginda membenarkan kapal Perancis berdagang di mana-mana sahaja di wilayah kekuasaan Johor.

Surat ini merupakan permulaan hubungan kerajaan Johor dan Pahang dengan Perancis kerana sebelumnya tidak hubungan dibuat. Perkara penting yang hendak diketengahkan ialah penggunaan bahasa Melayu oleh pemerintah Johor dan Pahang dalam hubungan baginda dengan kerajaan Perancis pada waktu itu.

Wah, hebatkan orang-orang dulu!

Konfrontasi Terhadap Bahasa Melayu

Ya, hebat memang hebat! Namun, kejayaan di masa lalu tidak menjamin kejayaan pada masa depan. Sedar atau tidak, pada hari ini memang tidak dapat dinafikan bahawa wujudnya pakatan ataupun golongan-golongan yang cuba untuk ‘membunuh’ bahasa ini secara halus dan senyap-senyap.

Mempertikaikan keberadaan Bahasa Melayu dalam Perlembagaan, merendah-rendahkan martabat bahasa Melayu secara terbuka, menjaja ke sana ke sini bahawa bahasa Melayu itu murah tidak ada nilainya lebih-lebih lagi zaman canggih teknologi maklumat pada hari ini. Gambar di bawah menunjukkan potongan gambar skrin yang diambil daripada Facebook, menunjukkan unsur provokasi terhadap bahasa Melayu.

hina
Gambar potongan skrin menunjukkan netizen merendahkan martabat bahasa Melayu

Tidak kurangnya juga masyarakat Melayu kita sendiri yang cuba memandulkan penggunaan bahasa Melayu ini. Perasan atau tidak, terdapat sekelompok dalam masyarakat kita yang cuba menanamkan pembelajaran bahasa asing, contohnya bahasa Inggeris kepada anak-anak sedang usia mereka masih muda tanpa menghiraukan peri penting bahasa Melayu itu sendiri.

Kelak bila anak membesar, merangkak-rangkaklah si anak menuturkan bahasa Melayu, malahan ada juga si anak yang hidung tinggi membongkak menuturkan bahasa Inggeris. Tidak ada salahnya belajar bahasa asing itu, tetapi berpada-padalah kita apa adanya dan biarlah tindakan kita itu relevan persis dengan yang pernah diungkap oleh sasterawan tanahair;

“Tiada penghinaan terhadap bahasa Inggeris, tiada pula pendewaan keterlaluan bahasa Melayu.” – A. Samad Said

Pada abad ke-21 ini saja, dianggarkan lebih 7,000 bahasa wujud di seluruh dunia. Kebanyakan daripadanya adalah bahasa minor yang penuturnya sangat sedikit dan sedang berada di ambang kepupusan, menurut satu kajian dijangkakan 90% bahasa yang dituturkan hari ini akan pupus pada tahun 2050.

Maka, bahasa Melayu sudah tentu saja tidak terkecuali dalam hal ini. Boleh jadi rakyat Malaysia akan bergerak ke satu fasa dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar harian. Maka di manakah lagi bahasa Melayu kita pada ketika? Adakah sudah tidak mempunyai nilai? Adakah kita berasa malu untuk menuturkannya? Tepuk dada tanyalah diri sendiri.

Konklusi

Oleh itu, demi mendaulatkan bahasa negara bangsa ini, sebarang langkah ke arah ini wajarlah disokong tidak kira siapapun yang meloporinya. Jauhkan sentimen politik tidak menguntungkan dan mana-mana unsur yang membantutkan usaha ini.

Belajar bahasa Melayu bukanlah setakat untuk lulus SPM dan dapatkan kelebihan berkerjaya nanti. Bahasa Melayu juga bukanlah sekadar alat komunikasi saja, tetapi penguasaan bertuturnya juga melambangkan keluhuran jati diri dan bukti cintakan negara. Membaca dan menulis dengan bahasa Melayu yang betul juga seumpama dengannya.

Jadi untuk memperjuangkannya sudah tentu saja menjadi tanggungjawab setiap rakyat tanahair tercinta ini. Janganlah pula pada penghujungnya nanti, kita begitu bangga mendabik dada, kononnya takkan Melayu hilang di dunia tapi apalah gunanya tak hilang di dunia kalau kewujudannya tidak dirasa. Wallahu’alam

Nota Kaki

  1. Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (Edisi keempat), “Maksud lingua franca”, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (2017). Available: http://prpm.dbp.gov.my/
  2. Amirah N. et al., “Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu”, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Kuala Lumpur (2013) muka surat 3-14
  3. Lenore A. Grenoble, Lindsay J. Whaley, “Saving Languages: An Introduction to Language Revitalization”, Cambridge University Press (2006) p.18
  4. D. Graddol, “Ethnologue: Languages of the World”, Southwest University for Nationalities College of Liberal Arts (Retrieved 2015). Available: https://www.ethnologue.com/
  5. A. Razak A. Karim, “Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Dunia: Tinjauan Berdasarkan Warkah-warkah Melayu Lama”, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya. Available: http://drz-mycv.blogspot.my/
  6. Malique Ibrahim, lirik lagu “Layu”
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s