Cerita Budak Kampung Masuk Universiti (Versi Penuh)

Prolog

Setiap transisi atau peralihan akademik dari tingkatan yang rendah ke tingkatan yang lebih tinggi itu mempunyai cerita tersendiri. Misal kata, peralihan dari sekolah rendah ke sekolah menengah, dari menengah rendah ke menengah atas dan begitulah seterusnya. Setiap orang memiliki jalan cerita yang berbeza, mengimpikan cita-cita impian dan sebagainya. Di akhir hari kemudiannya, mereka ingin berjaya dalam hidup, itu matlamat utama mereka yang sama. Jadi salah satu cara untuk berjaya dalam hidup adalah dengan belajar, kemudian dapatkan sijil-sijil kelayakan dan skrol pengajian seterusnya berkerjaya dan sebagainya.

Oleh kerana setiap orang itu memiliki jalan cerita yang berbeza. Jadi, perkongsian penulisan kali ini lebih kepada menceritakan tentang perjalanan hidup seorang pelajar yang biasa-biasa saja, budak kampung. Tapi dia bercita-cita besar, dia ingin berbakti kepada keluarga, berjasa kepada masyarakat. Sebuah kisah benar yang dipungut daripada kotak memori masa lalu. Dengan harapan, perkongsian ini mampu menjentik semangat baru khususnya kepada budak-budak kampung yang berjiwa besar dan masih berada di bangku sekolah.

UPSR Titik Tolak Pertama

Sebut saja perkataan “belajar” kepada budak sekolah, belum tentu mereka suka. Berbeza dengan “bermain”, sepantas kilat mengganguk dan mengiyakannya. Begitulah kisahku dulu, sebagai budak sekolah. Kepadanya sekolah itu hanya tempat untuk bersuka ria, bertemu rakan dan belajar bukanlah keutamaan. Namun, semua itu berubah apabila aku berada di Darjah 6, tahun untuk aku menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Aku memang bukan budak pandai, biasa-biasa saja pada catatan laporan pelajar. Aku mula belajar, bersungguh-sungguhlah dikatakan adalah kerana cetusan cita-cita yang datang tiba-tiba ketika itu. Cetusan cita-citaku tidak berkeinginan dan memandang jauh untuk menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh, sekolah elit dan sebagainya, sebaliknya fokus cita-citaku terarah ke sekolah agama, SMKA Sandakan atau sekarang dikenali sebagai SMKA Tun Juhar Sandakan.

Entah mengapa terpasang niat memilih sekolah agama, adakah kerana ingin mendalami bidang agama atau itulah fitrah manusia yang cenderung untuk beragama agaknya. Lalu, aku pun menduduki UPSR pada tahun 2007 kemudiannya mendapat keputusan yang cukup-cukup makan dan keputusan itu memenuhi syarat minimum untuk masuk ke SMKA itu. Aku pun begitu senang hati ingin menyatakan impianku itu kepada ibu bapaku. Berharap diberi izin untuk ke sana.

Tetapi aku terpaksa berputih mata, impianku lebur begitu saja. Ibu bapaku begitu khuatir akan diriku sekiranya aku bersekolah asrama, berjauhan dengan keluarga dan mereka terpaksa menafikan keinginanku. Aku akur dan menerimanya, bagiku mereka tidak bersalah malah mereka bertindak tepat pada masa dan tempatnya. Meskipun sebabnya, aku hanyalah seorang penghidap Asthma biasa saja. Sedih membisu bunyinya tiada kedengaran, kala sunyi aku menelan pil kepahitan.

Kecundang Buat Kali Kedua

Selepas impian pertama terpaksa dilepaskan, aku positif dan kembali ke sekolah harian bertepatan dengan kehendak orang tuaku, SMK Sandakan II tempat baruku. Aku menjalani kehidupan sebagai pelajar kebiasaannya, masih lagi terbawa-bawa perangai sekolah rendah tapi kali ini agak relaks pembawaannya. Tamat pengajian Tingkatan 1 dan 2, aku melangkah kemudiannya ke Tingatan 3 dan pada masa yang sama aku bakal menduduki satu peperiksaan besar iaitu Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2010.

Agak gementar juga rasanya apabila aku terpilih antara yang menjadi calon harapan yang dijangka untuk mendapatkan 8A buat sekolah. Pelbagai usaha intensif dilakukan oleh sekolah; kelas tambahan, mentor mentee, program motivasi, bengkel dan sebagainya. Tepu dan tekanan kadang-kadang terasa, tapi aku cuba relakskan diri, ‘cool’ dan ‘steady’ macam biasa. Aku banyakkan bersosial untuk menghilangkan ketepuan dan tekanan tadi.

Saat menduduki PMR yang jatuh pada Oktober 2010, aku menghadapinya dengan baik. Tenang dan rapi semuanya, segalanya aku atur dengan baik. Sebabnya impian pertamaku yang lebur sebelum itu tidak menundukkan aku dari terus bangkit dan mengantungkan impianku yang kedua dan serba baru pada gugusan bintang-bintang kejayaan. Aku optimis dengan impian baruku itu, walau zahirnya aku nampak selekeh macam budak yang tiada masa depan.

Kali ini tumpuan impianku tidak terarah jauh ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu, tetapi cukuplah setakat mendapat tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Lahad Datu. Disember 2010, keputusan penuh PMR telah dikeluarkan. Keputusannya aku menepati jangkaan pihak sekolah, sekaligus mengangkat nama sekolah bersama rakan-rakan yang lain. Ketika itu, hebat belaka rakan seperjuangan dan sehinggalah ke hari ini, masih terasa aura kehebatan mereka itu dan masing-masing telah pun memilih haluan sendiri walaupun sekali sekala sempat bersua.

Langkahku terhenti sejenak, ke manakah aku selepas ini? Aku tercengang, perasaan hendak ke SBP tadi tiba-tiba bersalut ragu-ragu. Patutkah aku ke sana? Aku pun mengadu dan meminta perkenan daripada orang tuaku, kali ini mereka positif dan memberikan lampu hijau. Aku tersenyum lebar dan gembira pada hari-hari berikutnya. Selepas itu, aku pun dapatkan bantuan daripada guru kaunseling untuk cuba menempatkan diri pada tempat pilihanku, SBP Lahad Datu. Aku memandang jauh sekolah itu dengan lakaran-lakaran kejayaan. Aku jadi berwawasan!

Beberapa hari berlalu setelah itu, keputusan kemasukan ke SBP dan MRSM telah keluar. Lalu, aku pun menyemak status permohonanku. Alangkah kelamnya hari itu, mendung tiada mentari. Aku berputih mata sekali lagi, aku gagal mendapat tempat sekalipun rayuan telah dibuat namun tiada hasilnya. Aku buntu tiada arah tuju seketika, kecewa sangat. Namun aku berjaya ditenangkan dan terpaksa menerima kenyataan untuk terus saja berada di sekolah lama dan meneruskan pengajian berbaki. Sedih bagai muzik lagu tanpa irama, senyap-senyap aku menelan pil kepahitan kedua kalinya.

Keadaan Semakin Parah

Masuk tahun berikutnya, aku berada di Tingkatan 4. Aku pun memilih jurusan sains tulen dan itulah sebaik pilihan meskipun pernah memasang niat untuk mengubah angin akademik ke arah kesasteraan. Namun, aku turuti saja kehendak keadaan semasa yang meruncing. Hari-hari dilalui seperti biasa tapi tidak seperti kebiasaannya sebelum ini. Aku semakin banyak mendiamkan diri, buat kerja sendiri dan aku pun tidak berapa ingat apa yang aku lakukan ketika berada di Tingkatan 4 pada hari ini. Hariku berlalu sambil memikirkan cerita-cerita pahit yang lepas dan banyak mempengaruhi aku untuk tidak mengimpikan sesuatu besar kerana aku takut kecewa lagi. Aku jadi pengecut akhirnya.

Masa berlalu agak pantas, tahun berikutnya aku berada di Tingkatan 5 dan aku bakal menduduki satu lagi peperiksaan besar iaitu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Satu peperiksaan yang menentukan hala tuju hendak ke mana selepas sekolah nanti. Aku relaks pada caraku seperti biasa, tetapi relaksnya banyak memikirkan dilema dan masalah. Berperang dengan pakatan emosi dalaman dan luaran  setiap hari terjadi. Itulah senario yang berlaku ketika itu. Semuanya kacau bilau, haru biru!

Apabila berada di rumah, aku banyak menyendiri, banyak meluangkan masa bermain permainan video, berjaga sampai ke lewat malam dan sering lambat datang sekolah serta macam-macam lagi. Tatkala di sekolah pula, pelajaranku semakin terabai. Kerja sekolah tidak dibuat, tahunya meniru kerja orang lain saja. Buang masa dengan merayau-rayau, ponteng kelas dan melepak saja di perpustakaan sekolah. Tapi aku berasa puas hati seolah-olah aku melepaskan semuanya, lega rasanya. Entahlah yang menghempap diriku sehingga aku jadi nakal sedemikian rupa.

Beberapa kali peperiksaan sebelum menjelang SPM juga telah diadakan, keputusanku semakin tidak memberansangkan. Aku hanya mendiamkan diri dan mengelak daripada dipersoal akan perihal akademikku. Sehinggalah tiba suatu hari aku semacam ditarik kembali ke jalan yang benar. Pada suatu malam, ketika itu tinggal lebih kurang sebulan dua saja lagi SPM bakal tiba. Malam itu sempat merakamkan satu momen yang agak emosional dan sentimental – aku disekolahkan, kepala otakku dicuci keras. Aku dipanggil untuk berhadapan dengan seseorang yang aku kenal dan rapat iaitu abang kandungku sendiri yang kebetulan sedang cuti semester yang tidak tahan lagi dengan perangaiku. Aku akui dia seorang yang hebat baik dalam akademik mahupun luar akademik.

Pendekkan cerita, aku berdiri berhadapan dengannya, tapi aku hanya mampu menundukkan pandangan dan dalam diam berzikir agar percepatkan saja sesi ini. Aku tidak tahan dan aku tidak suka sesi macam ini, sebabnya aku senang tewas. Kemudian, buat beberapa ketika dia menyekolahkan aku, dia membentangkan hamparan perbezaan antara orang yang berjaya dan gagal dalam hidup. Aku terus terpaku tunduk, mendengar setiap ucapannya, sekali sekala mengangguk setuju apa yang dikatakan. Sekali sekala dalam menyekolahkan aku, dia sering mengajak aku mentajdid niat untuk apa bersekolah sebenarnya. Malam itu agak perit untuk menerima nasibku yang sedemikian, apakan daya semua pilihan di tangan sendiri, berani buat berani tanggung.

Sesi itu pun berakhir dengan satu resolusi yang harus disepakati bersama. Padanya ia tidak memberikan apa-apa sebaliknya lebih kepada diriku untuk melaksanakannya. Ia merupakan suatu resolusi berunsur metode psikologi iaitu aku mesti lafazkan ikrar janji. Aku menolak awalnya, “kenapa dan apa perlunya ikrar janji ini?” persoal aku tapi tidak berjaya jua. Akhirnya, aku turutkan saja, dengan itu aku lafazkan ikrar janji bahawa aku akan belajar sungguh-sungguh, ubah sikap dan sebagainya. Tanpa diduga air mata terpancur di tengah jalan, deras bagai empangan pecah.

Mereka yang turut menyaksikan aku ketika itu adalah adik-beradikku yang kerjanya tidak lain hanyalah mentertawakan aku, aku tidak kisah kerana sudah menjadi lumrah meraikan kesedihan orang lain walaupun aku tahu jauh di sudut hati mereka juga sedang bersedih. Selain itu, aku juga diperhatikan oleh orang tuaku sendiri yang jelas terpancar kesedihan pada raut wajahnya tapi pada masa yang masih lagi mengharapkan sesuatu daripadaku dan semestinya hari-harinya tidak pernah berlalu tanpa mendoakan kejayaan anak-anaknya. Jasadku pun semakin lemah, aku kepenatan agaknya ekoran tercabut ego kejantanan buat seketika. Walaubagaimanapun, dalam kepenatan dan kelemahan itu, aku merasa jiwaku seperti hidup kembali, recaj positif memenuhi segenap ruang jiwaku. Aku seperti bersemangat kembali!

Comeback is real!

Hari baru jiwa baru, aku bersemangat kembali. Seakan bateri baru sudah siap dipasang pada diriku. Perlahan-lahan aku panaskan enjin masuk kembali ke jalan utama dan menuju ke arah kejayaan. Pertama sekali, aku perbaiki hubunganku dengan para guruku, aku cuba menyantuni mereka sebaik mungkin dan cuba perbaiki kesilapanku yang dulu. Bagiku biarlah setiap lakaran kejayaan itu direstui mereka dan mereka sukai akhirnya. Aku rajinkan diri mengikuti kelas intensif persediaan SPM, aku siapkan kerja-kerja sekolah, aku rajinkan diri menelaah. Kadang-kadang aku terasa seperti terlambat, tinggal sebulan saja lagi untuk buat pecutan akhir. Aku mencongak SPM sudah semakin menghampiri. Aku cuba tenangkan diri dan fokus dengan apa yang aku ada. Teruskan usaha, biar pun perlahan.

Aku cuba menguasai apa yang aku pelajari, ingat kembali silibus yang telah diajar. Tapi pada masa yang sama, aku turut mengajak rakan-rakan yang lain lebih-lebih mereka yang perlukan bantuan. Aku banyak habiskan masa bersama mereka, cuba untuk menampal kekurangan mereka. Dengan harapan biarlah di kemudian hari nanti, kami bergembira meraikan kejayaan bersama-sama. Pada masa yang sama, urusan di rumah juga tidak ditinggalkan, aku cuba libatkan diri pada mana-mana bahagian yang aku mampu sertai. Dalam mengisi semua hal itu, debaran SPM semakin terasa, tinggal beberapa hari saja lagi.

Pada Disember 2012, aku menduduki peperiksaan SPM bersama rakan-rakanku yang lain. Aku rasa begitu tenang meskipun tempat dudukku terletak pada barisan hadapan, tapi aku berasa selesa saja. Hari pertama, kertas Bahasa Melayu aku duduki. Pengalaman pertama yang dirasai agak menakutkan, gementar rasa. Kerananya aku hampir-hampir tidak dapat menyiapkan jawapan dalam masa yang diberikan dan aku berasa sangat risau kerana menghantar kertas jawapan dalam keadaan yang tidak disemak buat kali kedua mahupun ketiga. Tapi aku biarkan saja dan sebaiknya menamatkan perasan risau itu tadi dengan bertawakal kepada Allah, bagi-Nya segala pergantungan sesudah berusaha. Aku berjaya duduki kesemua peperiksaan SPM akhirnya. Lafaz syukurku selangi, maka berakhirlah satu fasa penting dalam hidupku.

Debaran Keputusan SPM

Mac 2013, keputusan SPM dikeluarkan. Adrenaline terembes kencang, darah mengalir deras, degupan jantung gementar kedengaran. Aku cuba beranikan diri, hadir ke sekolah untuk mengambil keputusan. Sebelum melangkah dari rumah lagi, aku pasakkan dalam hati, “walau apa pun keputusan yang keluar nanti, redhakan saja!” aku memujuk hati sendiri. Setibanya di sekolah, suasana riuh dengan kebanjiran bekas pelajar SPM, ada yang datang bersama ibu bapa, rakan-rakan dan sebagainya. Tapi aku tidak endahkan semua itu, aku terus bergegas ke kaunter penyerahan slip SPM di ruangan lobi pejabat guru. kerana aku ada tujuan khusus ke sini.

Aku berikan salam kepada guru yang bertugas, dia menjawab mesra. Lantas itu, dia pun membelek-belek slip peperiksaan SPM, mencari slip kepunyaanku. Belekan demi belekan yang dibuat membuatkan aku semakin berdebaran, debaran hanya Allah saja yang tahu. “Nah, Radjham Abraham! Ini kamu punya, tahniah cikgu ucapkan,” ucap guru tadi sambil menyerahkan slip keputusan milikku itu. Suasana ketika itu terhenti, sekelilingku terasa seperti dalam jeda. Suasana riuh tadi sepertinya bisu dibuat olehku. Dengan cermat, aku perhatikan keputusanku itu. “Alhamdulillah!” itulah lafaz yang tidak lekang di bibir. Aku berpuas hati biarpun hanya sedikit tersasar dari sasaranku, lebih mengembirakan beberapa subjek yang aku khuatiri tidak berapa bagus berjaya lolos dari andaian negatifku. Alhamdulillah!

Penentu Hala Tuju

Untuk langkah seterusnya aku tidak membuang masa, sambil-sambil bercuti aku tidak lupa untuk mengisi permohonan atas talian kemasukan pelajar untuk ke peringkat seterusnya atau lebih dikenali sebagai UPU, baik untuk ke matrikulasi, pengajian asasi mahupun diploma. Sasaran pertamaku adalah untuk menempatkan diri ke pengajian asasi, sekiranya tidak dapat maka ke matrikulasi pula dan pilihan terakhirku adalah masuk ke Tingkatan 6, diploma ketika itu tidak berada dalam radar. Pada masa yang sama, aku juga mengintai beberapa biasiswa dan turut mengisinya dengan harapan, dapat sedikit bantuan pengajian nanti.

Pada hujung April 2013, keputusan UPU pun telah dikeluarkan. Pada awalnya aku memang menjangkakan mudah untuk aku mendapatkan tempat, walaupun aku akui ia sangat kompetitif. Tetapi pelangi itu tidak semestinya wujud meskipun hujan lebat mencurah-curah. Kali ini aku ditakdirkan tidak mendapat tempat langsung untuk ke peringkat seterusnya. Aku dalam dilema, tidak keruan dibuatnya. Pengajian asasi tiada tempat, matrikulasi pun sama. Tapi, rezeki ketika itu adalah untuk terus berada di Tingkatan 6, SMK Muhibbah. Hati sangat sayu, aku persoal diri sendiri kenapa nasib aku begini? Aku cuba untuk redha dengan ketentuan ini, walau pahit untuk diterima sebenarnya. Tidak sanggup untuk menelan pil kepahitan lagi.

Beberapa hari kemudian, tiba saatnya untuk aku laporkan diri ke SMK Muhibbah dan menunjukkan seakan-akan aku redha menerima ketentuan takdir sebenarnya. Itulah jalan terakhir yang aku ada dan mesti pilih untuk berada pada landasan sepatutnya. Aku dengan sinis memikirkan diriku yang harus memakai pakaian uniform sekolah kembali sedangkan rakan-rakanku yang lain berkemeja persis budak universiti, aku harus terikat dengan peraturan sekolah lagi sedangkan rakan yang lain sebaliknya. Aku redha dengan semuanya, aku redha dan itulah sebaiknya. Aku pasakkan kembali keyakinanku bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang. Aku ambil jalan Tingkatan 6 ini dengan redha. Ya, dengan redha!

Tapi dalam mengambil jalan Tingkatan 6 itu dengan hati yang redha. Tiba-tiba ada satu hal yang tidak dijangkakan berlaku, ia mampu memberikan kembali semangatku dan ingin tinggalkan jalan Tingkatan 6 ini. Ringkas cerita, selepas seminggu mengikuti orientasi dan pengajian di Tingkatan 6, aku telah mendapat panggilan dari metropolitan Kuala Lumpur. Terkejut aku, bila masa pula aku buat ‘engagement’ dengan orang Kuala Lumpur. Dalam perbualan ringkas itu, dia menyuruh aku untuk datang ke Kota Kinabalu untuk sesi temu duga. Setelah teringat kembali, rupa-rupanya aku pernah mengisi satu borang permohonan biasiswa dengan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB). Alhamdulillah! Aku terpilih sampai ke peringkat sesi temu duga. Aku maklumkan kepada semuanya aku akan ke Kota Kinabalu dalam masa tersekat.

Aku pun hadiri sesi temu duga itu yang memakan masa lebih kurang sehari. Penat juga sebenarnya, Khamis pagi bertolak, Jumaat pagi kena patah balik. Satu hari perjalanan yang singkat dan memenatkan tapi demi cita-cita aku cuba untuk kuatkan diri. Keputusan penuh tawaran biasiswa itu dijangka akan diumumkan pada Isnin minggu berikut. Menuju ke hari pengumuman itu, hariku tidak lekang dari berdoa memohon kepada Allah agar dipermudahkan urusan dan pada masa yang sama aku cuba untuk menerima ketentuan yang berlaku selepas itu. Sekali lagi, nasibku dalam pertaruhan dan aku kira ini untuk kali yang terakhir. Kalau tidak dapat sekali pun, aku redha memakai pakaian uniform Tingkatan 6 kembali.

Alhamdulillah! Syukur terlafaz, aku terpilih sekaligus mendapat biasiswa tajaan YPPB itu. Penantian selama ini memang menyeksakan, tapi saat pertemuannya itu hanya Allah saja yang tahu. Aku hanya ada seminggu untuk persiapkan segala kelengkapan, kerana aku mesti lapor diri di Kuala Lumpur minggu berikutnya. Tiket penerbangan percuma sudah tersedia ditempah, tepat pada masanya aku harus berlepas ke Kuala Lumpur. Maka dengan itu bermulalah hidupku yang baru, meninggalkan keluarga buat seketika, hidup sendiri dan berdikari. Pada Julai 2013, aku dengan jayanya mendaftar sebagai mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan mengambil bidang kejuruteraan mekanikal bertepatan dengan keinginan masa depanku. Alhamdulillah!

Epilog

Apabila mengenangkan kembali semua kepahitan yang dilalui rasanya macam tidak mahu putarkan waktu ini, rasa bersyukur sangat dapat melaluinya. Bermula dari kegagalan menempatkan diri di SMKA selepas UPSR, seterusnya SBP Lahad Datu selepas PMR sehinggalah kegagalan menempatkan diri di matrikulasi dan pengajian asasi selepas SPM. Akhirnya aku berjaya menempatkan diri di UNITEN dengan biasiswa sekaligus. Wah, seakan-akan tidak percaya dengan apa yang berlaku selama ini!

Walaupun kita rasa perancangan kita hebat, apalah sangat jika dibandingkan dengan perancangan Allah. Meskipun kita mampu merancang, Allah juga merancang tetapi Allah jualah yang menentukan segalanya dan Dia-lah sebaik-baik perancang. Apa yang penting, sejauh mana kita meletakkan keyakinan pada perancangan Allah dan sejauh mana kita sabar serta redha dengan semua ketentuan-Nya. Baik untuk manusia yang beriman atau tidak, ketahuilah setiap perancangan-Nya itu penuh dengan kasih sayang dan hikmah bagi mereka yang memikirkannya.

Pada hari ini, aku sedang berada di pengajian tahun akhir dalam bidang yang sama. Insya-Allah dijangkakan akan menamatkan pengajian pada Februari 2018 dengan semester yang berbaki lebih kurang satu saja lagi. Diharapkan dapat menamatkan dengan jayanya dan dipermudahkan segala urusan bermula hari ini sehinggalah hari-hari seterusnya. Semoga penulisan yang panjang ini, bermanfaat untuk mereka yang membacanya dan memerlukannya lebih-lebih lagi bagi anak muda yang masih berada di bangku sekolah yang berjiwa besar dan mempunyai cita-cita setinggi langit.

Terima kasih kerana membacanya 🙂

Wallahua’lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s